Tumpuan :
Nasional

Deposit Simpan SSPN cecah RM18.85 bilion, 6.54 juta akaun dibuka

Norliza pada Majlis Pelancaran Bulan Menabung Simpan SSPN 2024, hari ini. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM18.85 bilion jumlah deposit Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) diterima dengan bilangan akaun berjumlah 6.54 juta, setakat 31 Ogos lalu.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, berkata pencapaian deposit Simpan SSPN sentiasa menunjukkan peningkatan membanggakan, dan prestasi itu membuktikan ia adalah produk simpanan terbaik di negara ini.

“Tahun ini, genap dua dekad usia Simpan SSPN. Tempoh ini bukanlah satu fasa yang singkat.

“PTPTN telah mengharungi pelbagai cabaran untuk memastikan Simpan SSPN terus kekal relevan sebagai produk simpanan terbaik dan berdaya saing di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan sempena pelancaran Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2024, hari ini.

Norliza berkata, PTPTN menyasarkan jumlah deposit Simpan SSPN mencecah sebanyak RM220 juta bagi BMS 2024 yang bermula 26 September hingga 31 Oktober depan.

“Berdasarkan prestasi kutipan deposit dalam tempoh enam tahun penganjuran BMS, saya optimis BMS 2024 akan mencatatkan kutipan deposit Simpan SSPN yang luar biasa,” katanya.

BMS merupakan program utama PTPTN dalam memartabatkan amalan penabungan, dan mempromosikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan pilihan utama masyarakat Malaysia.

Tahun 2024 merupakan tahun ketujuh penganjurannya sejak 2018.

BMS kali ini bertemakan Fantasi sempena Hari Impian Sedunia yang disambut pada 25 September setiap tahun, dengan mengekalkan slogan ‘Jom Jadi Superhero Anak Anda.’

Tema ini mengangkat idea serta kreativiti untuk merangsang daya imaginasi dan perkembangan fikiran kanak-kanak bagi meneroka ilmu dan juga pengalaman baharu serta menyerlahkan potensi mereka. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini