Tumpuan :
Nasional

Demi biayai kos guaman Eda Ezrin, keluarga terpaksa bergolok gadai

Wan Ismail (kanan) dan Zahara hadir di Mahkamah Wilayah Narathiwat, hari ini bagi mengikuti keputusan membabitkan anaknya, Eda Ezrin di Narathiwat, hari ini. – FOTO: NSTP

NARATHIWAT: Ibu kepada penyanyi dikir barat Kelantan, Eda Ezrin, terpaksa menjual semua barang kemas milik anaknya itu demi menampung kos peguam berjumlah RM65,000 seorang.

Ibunya, Zahara Mamat, 47, berkata, hasil jualan barang kemas itu dia hanya memperoleh sebanyak RM26,000 sahaja.

“Sebaik dimaklumkan perlu membayar kos peguam sebanyak 2 juta baht (RM264,000) untuk empat orang dan setiap orang perlu membayar RM65,000, sudah tentu saya tidak memiliki sejumlah wang berkenaan.

“Jadi saya terpaksa menjual barang kemas milik Eda dan hasilnya diperoleh sebanyak RM26,000. Baki selebihnya saya terpaksa meminta bantuan keluarga mentua Eda untuk menambah jumlah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Wilayah Narathiwat, di sini, hari ini.

Pada masa sama katanya, dia yang sebelum ini berniaga di Tumpat, Kelantan juga mengambil keputusan untuk berpindah di Tak Bai, Thailand bagi memberi tumpuan penuh untuk kes anaknya.

Zahara (kanan) berkata, terpaksa menjual semua barang kemas milik anaknya, Eda demi menampung kos peguam berjumlah RM65,000 seorang. – FOTO: NSTP

“Sejak Eda ditahan saya terlalu serabut menyebabkan saya berpindah ke sini dan membuka kedai makan di sini. Saya memang berasal dari Thailand dan sebelum ini tinggal di Kelantan kerana bekas suami yang juga bapa Eda adalah orang Kelantan.

“Justeru, saya juga sudah membuat keputusan untuk kekal berniaga dan tinggal di sini. Keputusan hari ini sudah membuktikan anak saya tidak bersalah dan Eda seorang anak yang baik,” katanya.

Sementara itu, bapa Eda Ezrin, Wan Ismail Wan Yusuf, 52, menyerahkan perkara itu kepada mahkamah namun berharap supaya anak dan menantunya apat menyambut Aidilfitri bersama-sama.

“Apabila diumumkan Eda dan mereka yang lain bebas, saya sangat gembira dan hati ini tidak tahu nak digambarkan macam mana.

“Malah, saya juga memasang angan-angan untuk menyambut Aidilfitri sama-sama selepas empat bulan kami diuji dengan kes ini.

“Namun apabila pihak peguam memaklumkan perlu berada di penjara lagi, maka kita serahkan kepada mahkamah untuk urusan seterusnya dan kami akan sabar menunggu kepulangan Eda,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau turut memaklumkan akan mengadakan majlis doa selamat sebaik anaknya pulang ke Kelantan.

Terdahulu, Eda Ezrin dan suami serta empat yang lain dibebaskan oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat, di sini, hari ini daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil yaba pada 1 November lalu.

Keputusan itu dibuat oleh dua panel hakim terhadap Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, dan suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35, serta rakan Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, Erdeka Mohd Noor, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, selepas meneliti kesemua keterangan saksi pendakwaan semasa prosiding perbicaraan berlangsung.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini