comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Demam kepialu: Satu kes baharu, tiga pengendali makanan disyaki pembawa wabak

 


Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PETALING JAYA: Satu kes baharu dikenal pasti menjadikan keseluruhan enam kes dalam wabak demam kepialu atau tifoid melibatkan pelajar-pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di Kelantan sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Husin dalam satu kenyataan memberitahu, hasil siasatan di lapangan turut mendapati, tiga orang pengendali makanan disyaki sebagai pembawa Tifoid yang berkemungkinan menjadi punca kepada penularan wabak itu.

“Kesemua pengendali makanan ini telah diberi rawatan dan tidak dibenarkan mengendalikan makanan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Ujarnya, kesemua mangsa menunjukkan gejala demam, sakit perut, muntah, cirit-birit, dan kurang selera makan.

“Kesemua kes ini telah dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil. Sebanyak dua kes telah sembuh dan dibenarkan discaj dari wad. Tiada kes bergejala teruk atau kematian dilaporkan.

“Malah, sebanyak 35 kes yang disyaki demam Tifoid juga telah dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk siasatan dan rawatan lanjut.

“JKNK akan terus memantau situasi wabak ini dan menjalankan langkah-langkah kawalan bagi mencegah wabak dari berpanjangan. Saringan menyeluruh (mass screening) kepada semua warga sekolah akan dijalankan oleh PKD Kota Bharu dalam masa terdekat.

“Semua warga sekolah dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan dan sentiasa mencuci tangan. Sekiranya bergejala seperti demam berpanjangan, sakit kepala, lemah badan, dan cirit-birit atau sembelit, perlu segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.” katanya.

Terdahulu media melaporkan, lima daripada 22 pelajar di sebuah sekolah menengah di Kota Bharu disahkan dijangkiti tifoid atau demam kepialu.

Dr Zaini berkata, seramai 17 pelajar lagi sedang disaring di bilik isolasi di Hospital Tumpat dan Hospital Tengku Anis di Pasir Puteh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini