KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kagum dengan sambutan masyarakat pelbagai kaum dalam meraikan perayaaan Deepavali tahun ini.
Menyifatkan ia perayaan penting bagi Keluarga Malaysia, bekas Perdana Menteri berkata, sambutan meriah itu dapat disaksikan dengan kebanjiran orang ramai di Little India Brickfields, di sini.
Pengunjung yang membanjiri lokasi tumpuan setiap kali menjelang Deepavali itu, katanya, bukan saja terdiri daripada masyarakat India, sebaliknya Melayu dan China juga memenuhi kawasan berkenaan.
“Saya setiap tahun akan ke sini (Little India Brickfields) untuk membeli-belah dan menemui bukan saja masyarakat India yang ramai di sini, tapi juga Melayu dan Cina.
“Ini lambang keharmonian Keluarga Malaysia dalam membuat persiapan untuk menyambut Deepavali,” katanya yang ditemui media ketika berkunjung ke Brickfields, petang ini.
Hadir sama, Timbalan Presiden MIC yang juga Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan.
Ismail Sabri meluangkan masa kira-kira satu jam mengunjungi gerai jualan di sekitar Little India Brickfields serta bertemu dan beramah mesra dengan pengunjung, termasuk pelancong.
Setiap kali Deepavali, Little India Brickfields akan menjadi tumpuan orang ramai mendapatkan pelbagai barangan segar serta kelengkapan perayaan.
Kebiasaannya, menjelang tengah malam ini, jualan kelengkapan perayaan ada yang ditawarkan pada harga diskaun sehingga 50 peratus, sekali gus menarik pengunjung terus membanjiri kawasan itu sehingga lewat malam.
Kawasan perniagaan itu beroperasi bermula 10 pagi, biasanya ditutup jam 10 malam, namun menjelang perayaan, gerai dibuka sehingga 1 pagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.