Tumpuan :
Nasional

Deepavali: ‘Kolam’ seni masyarakat India yang tidak lapuk dek zaman

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Sambutan hari kebesaran sesuatu kaum di negara ini menjadi asas kepada pemahaman yang lebih mendalam mengenai kepelbagaian budaya dan fahaman.

Menjelang Deepavali, banyak lokasi terutamanya di pusat membeli-belah kini dihias indah dengan ukiran berwarna-warni yang dikenali sebagai ‘Kolam’ atau ‘Rangoli’.

Meskipun ia menjadi pemandangan biasa, hakikatnya, ramai masyarakat yang masih tidak mengetahui maksud tersurat dan tersirat di sebalik hiasan ini.

Secara tradisinya, ‘Kolam’ diukir dengan pelbagai corak geometri, flora dan fauna menggunakan tepung beras di perkarangan sesebuah premis.

Terdapat dua jenis Kolam’ iaitu ‘Pulli Kolam’ yang sifatnya lebih tradisional’ manakala ‘Rongoli’ dibentuk menggunakan beras hancur atau hampas kelapa yang diwarnakan.

Secara tersirat, ‘Kolam’ adalah satu bentuk amalan sedekah kepada binatang kecil seperti serangga dan unggas bersempena sambutan hari kebesaran.

Setiausaha Jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman Devastanam Alor Setar, Surendran Krishnasamy berkata, ‘kolam’ kini sudah berevolusi dan dilihat sebagai satu bentuk elemen seni yang mempamerkan budaya masyarakat India.

“Kolam ini mendapat perhatian dari masyarakat pelbagai kaum. Menariknya setiap kali sambutan Deepavali, kita dapat lihat penglibatan masyarakat untuk mencuba untuk membuatnya terutamanya di pejabat atau pusat membeli belah.

Tidak mahu pupus daipada amalan, tradisi membentuk ‘kolam’ ini digalak dari usia muda.

Ini termasuk pelbagai pertandingan ukiran ‘kolam’ yang diadakan di peringkat sekolah.

Sukarelawan Pusat Jagaan Batu Grace Kulim, Kalpana Munusamy Naidu berkata, kanak-kanak terutamanya dapat diasah bakat seni mereka menerusi amalan melukis ‘kolam’.

“Ia mencambah kreativiti kanak-kanak. Ia membawa mereka mengenali asas kebudayaan secara lebih santai dan dengan penuh rasa kegembiraan. Corak kolam juga sudah pelbagai dan tidak terikat kepada kebudayaan masyarakat India semata-mata.

Hakikatnya, mewariskan ilmu ukiran ‘kolam’ ini dilihat penting, berikutan lambakan barangan hiasan dengan motif ‘kolam’ di pasaran.

Kebergantungan terhadap produk siap cetak dikhuatiri akan menjejaskan nilai sebenar di sebalik hiasan tradisi ini.

Ikuti laporan khas sempena Deepavali ini, hanya di Buletin Utama TV3, jam 8 malam ini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini