Tumpuan :
Nasional

Deepavali: 2,752 pegawai, anggota polis pantau trafik seluruh negara

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

SUBANG: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menjangkakan sebanyak 2.6 juta pengguna jalan raya menggunakan lebuh raya utama dalam masa sehari sepanjang tempoh perayaan Deepavali.

Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pertambahan itu ekoran daripada warga kota yang menggunakan kesempatan cuti perayaan Deepavali dan cuti hujung minggu ini.

“Kita jangkakan laluan-laluan utama yang keluar dari bandar raya terutamanya lebuh raya menuju ke utara, selatan dan juga ke pantai timur.

“Pertambahan kenderaan-kenderaan ini akan berlaku kerana pengguna-pengguna menggunakan kesempatan cuti perayaan Deepavali dan hujung minggu ini untuk mereka pulang ke kampung atau merayakan hari perayaan ini,” katanya kepada Buletin TV3.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan udara bersama dengan Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM di sini, hari ini.

Tinjauan udara selama kira-kira dua jam bermula 4 petang itu dilakukan dengan menggunakan aset PDRM AW-139.

Selain itu katanya, pihak JSPT telah menempatkan 2,752 pegawai dan anggota di seluruh negara dalam memastikan aliran trafik yang lebih lancar selain keselamatan pengguna jalan raya.

Tambahnya, anggota JSPT yang ditempatkan juga akan membantu pengguna dari segi advokasi, penyuraian trafik dan mengambil tindakan penguatkuasaan sepanjang tempoh perayaan.

Hasil tinjauan Buletin TV3 setakat jam 6 petang tadi mendapati, aliran trafik keluar dari ibu negara menuju ke utara, selatan dan pantai timur semakin sesak ekoran daripada pertambahan kenderaan.

Namun, trafik di semua lebuh raya utama masih lagi terkawal dan selamat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini