
Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
PUTRAJAYA: Debat antara agama secara terbuka boleh mengundang perpecahan dalam kalangan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata pihak yang bercadang berbuat demikian perlu memikirkan kerencaman masyarakat di negara ini.
“Sebenarnya benda ini kalau dibuat secara terbuka, dia akan menyebabkan masyarakat akan lebih berpecah-belah.
“Pihak-pihak yang terlibat ini, untuk dia fikirkan dan memastikan kesatuan dan perpaduan rakyat di negara kita ini yang berbilang agama, bangsa akan dapat diperkukuhkan,” katanya selepas menghadiri program Erat Ramadan 2025 di Putrajaya hari ini.
Tambahnya, beliau juga bersetuju dengan saranan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang supaya sebarang bentuk perdebatan yang memfokuskan kepada perbezaan agama perlu dihentikan.
Jumaat lalu, media melaporkan Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M.Saravanan menetapkan tarikh debat bersama pendakwah bebas, Zamri Vinoth pada 23 Mac ini yang akan dianjurkan Dewan Bahasa Tamil Malaysia.
Bagaimanapun dalam satu sidang media hari ini, Saravanan memaklumkan beliau tidak berhasrat meneruskan debat berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.