comscore
Tumpuan :
Nasional

DBP garis tiga strategi perancangan baharu bahasa

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Hazami Jahari.

KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menggariskan tiga strategi perancangan baharu bahasa, sejajar falsafah pembinaan negara bangsa melalui bahasa Melayu.

Ia membabitkan penjanaan industri ekonomi kreatif berasaskan bahasa, peningkatan infrastruktur digital dan penerapan teknologi kecerdasan buatan.

Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari, berkata dalam industri ekonomi kreatif, bahasa adalah komoditi yang menjadi modal dan boleh diolah menjadi produk menjana keuntungan.

“Industri kreatif berasaskan bahasa boleh dilaksanakan melalui penterjemahan, pengiklanan dan penciptaan kandungan digital serta kandungan media sosial.

“Industri ini penting dalam memperkaya budaya, menyebarkan maklumat dan mempromosi interaksi sosial, selain menyumbang kepada ekonomi melalui peluang pekerjaan dan inovasi dalam usaha melestarikan bahasa kebangsaan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan kertas kerja pada Seminar Perancangan Bahasa Kebangsaan 2024 di sini, hari ini.

Seminar bertemakan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ itu antara lain membincangkan isu dan perkembangan penggunaan bahasa kebangsaan serta menentukan hala tuju perancangannya supaya terus relevan dalam kehidupan.

Mengenai strategi peningkatan infrastruktur digital, Hazami berkata, DBP memberi keutamaan kepada peningkatan infrastruktur digital dengan membentuk rangkaian internet berkelajuan tinggi, jalur lebar dan rangkaian mudah alih yang mempercepat pemindahan data dan komunikasi.

Beliau berkata, semua infrastruktur memerlukan sistem keselamatan siber merangkumi teknologi dan protokol yang melindungi data dan rangkaian daripada ancaman siber dan akses tidak sah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, melalui mesin kecerdasan buatan, langkah yang perlu diambil ialah menyediakan dan menambah nilai data Korpus DBP dengan maklumat tatabahasa dan merangkaikannya dengan maklumat makna kata yang ada dalam kamus.

“Semakin banyak data bahasa Melayu yangditemui sepanjang proses pembelajaran kendiri, semakin mahir mesin itu mengenalipola fikiran pengguna bahasa sehingga boleh memetakan kecenderungan fikiran dan menjangka penggunaan bahasa manusia.

“Apabila mesin itu menguasai sepenuhnya pola penggunaan bahasa, komunikasi secara langsung antara manusia dengan mesin dalam bahasa manusia juga boleh dilaksanakan seperti keupayaan yang ada pada Alexa, Cortana, Google Assistant.” katanya hari ini di sini.

Dr Hazami menambah, DBP akan terus menggalas dan mengawal sebagai badan perancangan bahasa selari dengan wawasannya untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama dunia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini