
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengumumkan senarai lokasi bazar yang membenarkan aktiviti busking dalam masa terdekat berdasarkan garis panduan KL Street Artist.
DBKL dalam satu hantaran di Facebook hari ini memaklumkan, pihaknya menghargai bakat seni tempatan dan berharap inisiatif itu dapat memperkaya pengalaman seni di Kuala Lumpur, sambil memastikan keseimbangan antara kepentingan peniaga, pengunjung dan para seniman jalanan.
“Kami sentiasa menyokong para seniman jalanan atau buskers untuk berkarya di bazar-bazar anjuran DBKL, selari dengan garis panduan yang ditetapkan.
“Merujuk kepada isu yang tular baru-baru ini mengenai dakwaan seorang pemuzik bahawa DBKL tidak membenarkan beliau membuat persembahan di bazar Ramadan, pihak kami ingin menegaskan bahawa aktiviti busking dibenarkan di lokasi terpilih, namun tertakluk kepada beberapa syarat,” katanya.
Antara syarat yang ditetapkan termasuk mempunyai permit sah daripada DBKL, mengadakan persembahan mengikut lokasi yang ditetapkan dan penggunaan peralatan akustik sahaja dibenarkan bagi menjaga keselesaan pengunjung dan peniaga.
DBKL juga sedang meneliti dan menyesuaikan syarat-syarat lain mengikut perkembangan ekosistem seni muzik yang dinamik bagi memastikan kesesuaian persembahan dengan situasi semasa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.