KUALA LUMPUR: Sebahagian Jalan Masjid India sepanjang 160 meter dari Wisma Yakin sehingga Bit Polis Jalan Masjid India ditutup bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pemeriksaan utiliti dan struktur tanah.
Unit Media Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan media berkata pihaknya mengadakan dua sesi libat urus bersama pemegang taruh bagi memaklumkan status terkini mengenai insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India termasuk status kemajuan kerja-kerja di tapak.
Katanya, DBKL juga telah membentangkan pelan tapak termasuk cadangan pemasangan hoarding dan ia telah bermula sejak 6 September dan dijangka selesai pada 9 September 2024.
“Kerja-kerja pembaikan manhole (lurang kumbahan) sedang dijalankan di lokasi insiden. Manakala untuk manhole berdekatan Bit Polis Jalan Masjid India, pihak IWK (Indah Water Konsortium) telah membaiki paip kumbahan dan kerja-kerja pemeriksaan tanah akan bermula pada 10 September 2024, sebelum kerja kemasan akhir dibuat,” katanya kenyataan itu.
Sebelum ini, seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra, India dilaporkan terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.
Mengulas lanjut, DBKL berkata, pada sesi itu juga, pihak DBKL turut mencadangkan pelan susun atur baru tapak pengoperasian Pasar Malam Lorong Tuanku Abdul Rahman termasuk cadangan pemindahan penjaja terlibat ekoran kerja-kerja pembaikan tanah mendap yang dijalankan.
Selain itu katanya, wakil pengurusan Masjid India turut memohon agar diberi ruang saf tambahan di luar masjid bagi solat Jumaat kerana ruangan sedia ada di dalam masjid adalah sesak.
“Peniaga sekitar Jalan Masjid India turut memohon kerjasama DBKL untuk membuat hebahan secara berterusan bagi menarik orang ramai berkunjung ke Jalan Masjid India.
“DBKL dan semua agensi berganding bahu menjalankan kerja-kerja membaik pulih kawasan sekitar Masjid India termasuk kerja recovery (pemulihan) dan reconstruction (pembinaan semula) bagi memastikan kawasan Jalan Masjid India kekal selamat untuk dikunjungi,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.