Tumpuan :
Nasional

DBKL tutup 5 gerai, tunda 2 trak makanan

Antara premis yang dikenakan tindakan ketika Operasi Gasak. FOTO: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur / Facebook

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menutup beberapa gerai haram dalam operasi penguatkuasaan di Bazaria Wangsa Maju.

DBKL dalam satu kenyataan, malam tadi berkata, serbuan menerusi Operasi Gasak turut mengeluarkan kompaun kepada enam gerai dan penjaja tidak berlesen manakala Jabatan Imigresen Malaysia menahan 35 warga asing.

“Semasa operasi, tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap 12 peniaga asing, dan dua trak makanan dikendalikan warga asing telah ditunda.

“Antara warga asing yang ditahan ialah seorang warga Myanmar dan 34 warga Indonesia iaitu 19 lelaki dan 15 wanita yang didapati tidak mempunyai dokumen sah atau telah menyalahgunakan permit kerja mereka,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Operasi itu dijalankan oleh DBKL dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“KPDN mengeluarkan tiga notis kompaun terhadap gerai yang disyaki melanggar peraturan perdagangan, termasuk isu berkaitan pelanggaran hak cipta dan barangan tiruan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011.

Tindakan turut diambil terhadap peniaga yang melanggar syarat perlesenan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016, Undang-Undang Kecil Premis Makanan (WPKL) 2016, dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Perdagangan, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016.

DBKL menambah bahawa Operasi Gasak akan diteruskan dari masa ke semasa bagi mengekalkan Kuala Lumpur sebagai bandar bersih, teratur, selamat, dan kondusif untuk semua.

“DBKL bersama agensi berkaitan akan terus bekerjasama bagi memastikan semua pihak mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan demi kesejahteraan bersama,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini