![](https://media.buletintv3.my/2025/02/Ap3bvVIR-BULETIN-TV3-AD-5.jpg)
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan sudah menyerahkan dokumen dan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihatnya yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Datuk Bandar Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif mengesahkan penyerahan dokumen dan maklumat berkaitan untuk membantu siasatan SPRM.
“Mereka (SPRM) datang ke pejabat DBKL semalam dan kita sedia memberi kerjasama dalam isu ini,” katanya kepada Harian Metro malam ini.
Terdahulu, media melaporkan DBKL akan berkongsi dokumen berkaitan penganugerahan projek bernilai RM4 juta yang sedang disiasat SPRM.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, masih terlalu awal untuk mengatakan pasukannya membuka kertas siasatan berhubung perkara itu.
Sebelum ini, dakwaan salah laku membabitkan ahli lembaga penasihat itu mula tular di media sosial sejak minggu lalu.
Ia membabitkan pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL bernilai RM4 juta, yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.
Menurut dakwaan di media sosial, ahli lembaga penasihat berkenaan dikatakan memegang jawatan dalam syarikat yang dianugerahkan projek berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.