
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan kompaun terhadap enam gerai dan menyita barangan milik penjaja warga asing yang berniaga secara haram di sekitar Bazaria Wangsa Maju dalam Operasi Gasak, semalam.
DBKL dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, operasi itu turut menutup serta-merta enam gerai dan menunda dua trak makanan.
“Hasil operasi yang dijalankan di Bazaria Wangsa Maju, sejumlah 6 buah gerai dan penjaja tanpa lesen telah dikenakan tindakan kompaun, 12 tindakan sitaan penjaja warga asing, 5 buah gerai ditutup serta merta serta 2 kes penundaan ‘food truck’ yang dikendalikan oleh warga asing,” katanya.

Operasi Gasak membabitkan pelbagai agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) WPKL serta jabatan dalaman DBKL.
Pada masa sama, seramai 35 warga asing ditahan JIM, termasuk seorang lelaki warga Myanmar, 19 lelaki warga Indonesia dan 15 wanita warga Indonesia atas kesalahan tidak memiliki dokumen sah atau menyalahgunakan permit kerja.
Selain itu, KPDN mengeluarkan tiga kompaun terhadap gerai yang melanggar peraturan perdagangan, termasuk berkaitan hak cipta dan penjualan barangan tiruan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
DBKL menegaskan operasi itu akan diteruskan secara berkala bagi memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai bandar raya yang bersih, teratur dan selamat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.