KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita barang dijadikan halangan di atas petak parkir untuk orang awam di sekitar kawasan Jinjang Utara, semalam.
DBKL dalam hantaran di media sosialnya, berkata halangan seperti kon, tayar terpakai, tong cat dan pelbagai lagi barang yang dijadikan halangan pada petak parkir itu dikenakan tindakan sita serta-merta di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
"DBKL menjalankan tindakan itu melalui Jabatan Penguatkuasaan bersama Pejabat Cawangan Batu dan semua barangan yang disita dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur untuk tindakan rekod dan dokumentasi.
"Justeru pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang dikenal pasti.
"Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan iaitu https://adukl.dbkl.gov.my/ ,"menurut hantaran DBKL.
Menerusi hantaran berkenaan, beberapa kakitangan DBKL menggunakan lori untuk mengangkut beberapa barang yang menghalang parkir untuk orang awam.