![](https://media.buletintv3.my/2024/06/aUwyiGRU-BULETIN-TV3-A-8.jpg)
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, yang mengesahkan siasatan itu berkata, beliau sedang bekerjasama rapat dengan unit integriti DBKL.
Dakwaan salah laku membabitkan ahli lembaga penasihat itu mula tular di media sosial hari ini.
Ia membabitkan pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL bernilai RM4 juta, yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.
Menurut dakwaan di media sosial, ahli lembaga penasihat tersebut dikatakan memegang jawatan dalam syarikat yang dianugerahkan projek berkenaan.
Dalam perkembangan berasingan, Maimunah mengesahkan beliau menghentikan sebuah projek bernilai RM7 juta yang dikaitkan dengan ahli lembaga penasihat sama, selepas memegang jawatan pada tahun lalu.
Katanya, beliau membuat keputusan itu kerana mendapati kosnya terlalu tinggi dan projek terbabit mungkin tidak mematuhi proses perolehan yang betul.
“Kami mengambil dakwaan ini dengan serius dan mengarahkan unit integriti untuk menyiasat dakwaan mengenai perolehan yang tidak wajar,” kata Maimunah ketika dihubungi The New Straits Times (NST).
Tambah beliau, unit integriti sedang dalam proses mendapatkan fakta untuk menentukan sama ada proses tadbir urus telah dipatuhi.
“Kami komited untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam semua urusan DBKL. Jika ada sebarang kesalahan ditemui, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.
Maimunah berkata, DBKL masih mengumpul maklumat dan bukti mengenai perkara ini sebelum memutuskan langkah seterusnya, termasuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
NST berusaha menghubungi ahli lembaga penasihat berkenaan untuk mendapatkan komen.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.