KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 30 kompaun kepada peniaga dalam Operasi Anti-Litter di sekitar kawasan komersial Jalan Berangan, Bukit Bintang, semalam.
Menurut kenyataan DBKL di Facebook, kesalahan yang dikesan termasuk meletakkan barang perniagaan di tempat awam tanpa kebenaran, membuang sampah di tempat awam serta menghalang longkang dengan sisa dan barang yang menjejaskan aliran air.
“Sebanyak 10 kompaun dikeluarkan mengikut Seksyen 46(1)(d), tujuh kompaun mengikut Seksyen 47(1)(d), 11 kompaun Seksyen 47(1)(a), dan dua kompaun Seksyen 46(1)(b) di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya.
DBKL juga mengingatkan pemilik premis agar menjaga kebersihan premis masing-masing, yang turut melambangkan imej perniagaan mereka.
Dalam perkembangan berasingan, DBKL bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan Jabatan Alam Sekitar telah menjalankan Ops Bersih ke atas kenderaan perdagangan di sekitar Kuala Lumpur, kelmarin.
Sebanyak 45 kenderaan diperiksa, dengan tujuh notis kompaun dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1997 dan Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
Selain itu, agensi lain yang terlibat turut mengeluarkan 54 notis kompaun atas pelbagai kesalahan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.