KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan operasi meroboh struktur haram di lima unit kediaman yang dibina di atas tanah rizab jalan di sekitar Parlimen Seputeh, di sini, semalam.
Tindakan diambil melalui operasi bersepadu yang turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Bekalan Air Selangor dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.
DBKL melalui kenyataan di Facebook memaklumkan empat daripada unit kediaman terbabit dikenakan tindakan roboh atas kesalahan membina struktur tambahan sehingga menutup longkang awam dan laluan awam.
Sementara satu lagi rumah dikenakan tindakan kerana diubahsuai tidak selaras pelan diluluskan DBKL dan dibina di atas rizab jalan awam.
Selain lima unit kediaman itu, DBKL turut mengeluarkan notis kepada 7 unit kediaman di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 untuk membuka sendiri struktur yang dibina bagi membolehkan pihaknya menyelenggara semula jalan awam terbabit.
Semua sisa struktur susulan tindakan itu dilupuskan DBKL selepas operasi tamat.
Dalam operasi berasingan, DBKL turut melakukan 22 sitaan ke atas barangan penjaja yang menghalang pesiar kaki dan laluan awam sekitar Jalan Raja Muda Musa dan Jalan Raja Alang di Kampung Bharu di sini.
Tindakan dilakukan menerusi peruntukan di bawah Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan Parit Bangunan 1974 dan UUK 3(1) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.
Tindakan ini diambil sebagai respon kepada aduan awam diterima dan untuk memastikan kawasan awam sentiasa teratur dan selamat.
Antara barangan disita adalah kerusi, meja plastik, kanopi, tong gas, gerai besi beroda dan pelbagai peralatan lain yang diletakkan di pesiar kaki dan laluan awam.
Barangan dan peralatan disita kemudian dihantar ke Stor Sitaan DBKL di Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk dokumentasi dan tindakan selanjutnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.