KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini menafikan khabar angin yang tular di media sosial, kononnya Jalan Yap Ah Loy di sini telah ditukar namanya kepada Jalan Palestin.
“Tidak ada perubahan. Nama Jalan Yap Ah Loy tetap tidak berubah,” kata pegawai DBKL ketika dihubungi hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa pada tahun 2020 Jalan Raja Laut 1 telah ditukarkan namanya kepada Jalan Palestin, atas arahan Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu Tan Sri Annuar Musa.
Isu ini timbul susulan hantaran maklumat palsu yang tular di mesia sosial baru-baru ini.
DBKL menerusi hantaran di Facebook pada pada 26 September 2020 memaklumkan pertukaran nama Jalan Raja Laut 1 kepada Jalan Palestin dan penukaran nama itu hanyalah melibatkan Jalan Raja Laut 1 sepanjang kira-kira 80 meter dan bukan Jalan Raja Laut secara keseluruhan.
DBKL berkata Jalan Raja Laut bermula dari persimpangan Jalan Tun Perak dan berakhir hingga ke persimpangan Jalan Ipoh/Jalan Tuanku Abdul Rahman (Chow Kit), manakala Jalan Raja Laut 1 terletak di sisi bangunan KWSP dan berakhir di Jalan Esfahan (bersebelahan SOGO).
Ramai dalam kalangan orang awam tidak mengetahui nama jalan ini kerana dahulu, jalan ini lebih dikenali dengan Lorong Gombak (belakang Jalan TAR).
Pembangunan sedang pesat di lokasi tersebut dan satu nama jalan adalah perlu seiring dengan pembangunannya agar mudah dikenali dan dijejaki, menurut hantaran itu.
Sementara itu bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Nor Hisham Ahmad Dahlan yang berkhidmat dari Oktober 2018 hingga 30 September 2020 turut menzahirkan rasa terkilan dengan penyebaran berita palsu tersebut sehingga menyebabkan perbalahan dalam media sosial.
“Dahulu jalan ini dinamakan semula pada 2020 bagi menunjukkan solidariti kepada Palestin, dan ia bukan melibatkan Jalan Raja Laut, jalan itu masih ada,” katanya yang meminta perkara itu tidak disensasi dan dimanipulasi mana-mana pihak. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.