Tumpuan :
Nasional

DBKL laksana operasi selamatkan gelandangan di ibu kota

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil inisiatif menjalankan operasi menyelamat gelandangan dalam usaha mengurangkan kehadiran komuniti nomad di ibu kota.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan bagi menangani isu berkenaan.

“(Jumlah) gelandangan di Kuala Lumpur ada naik dan turun. Berdasarkan data menerusi operasi menyelamat yang dijalankan, kami mendapati golongan gelandangan di ibu kota ini terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“Ada di antara mereka adalah warga asing, pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), pesakit mental serta penagih dadah.

“Dalam isu gelandangan, tiada akta khusus yang boleh digunakan. Ketika ini, kami mengguna pakai Akta Orang-Orang Papa 1977 yang berada di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya kepada Harian Metro.

Dr Zaliha berkata, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan menyelaras semua agensi berkaitan untuk mengatasi isu gelandangan di ibu kota ini yang disifatkan sebagai pintu masuk negara.

Justeru katanya, satu pelan tindakan akan dilakukan dalam usaha mengatasi isu gelandangan di ibu kota ini bagi menjaga imej Malaysia sempena Kepengerusian Asean 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Beliau berkata, terdapat kira-kira 180 program berkaitan Kepengerusian Asean 2025 adakan diadakan di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Program berkaitan Sidang Kemuncak Asean adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Luar Negeri (KLN) dan kami (JWP) terbabit sebagai jawatankuasa logistik.

“Sebagai lokasi pintu masuk negara, kami perlu bersedia bukan sahaja dari segi logistik tetapi juga membabitkan isu kebersihan, pengindahan bandar dan infrastruktur terutama di pusat bandar yang menjadi kawasan tumpuan orang ramai termasuk delegasi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini