KUALA LUMPUR: Sebuah tapak pembinaan di Taman Mutiara Barat, Cheras dikompaun oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana mendirikan struktur tanpa kebenaran.
Tindakan diambil selepas tapak pembinaan berkenaan didapati kotor manakala seramai 90 pekerja warga asing turut ditahan dalam operasi bersepadu DBKL, hari ini.
Operasi kira-kira jam 12 tengah hari itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH).
DBKL dalam kenyataan berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan menyeluruh di kawasan tapak binaan bagi menentukan tahap kebersihan, keselamatan dan peraturan ditetapkan dipatuhi.
“DBKL mengeluarkan tiga notis kompaun kerana mendirikan struktur tanpa kebenaran dan kawasan pembinaan kotor.
“DBKL turut memberhentikan aktiviti pembinaan dengan membuat penutupan tapak mengikut Seksyen 70 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974,” katanya.
Pemeriksaan turut dilakukan terhadap kenderaan berat, permit mengangkut bahan dan struktur bangunan.
Dalam operasi itu, Jabatan Imigresen menahan 90 pekerja binaan membabitkan 64 warga Bangladesh, India (14) dan masing-masing enam warga Myanmar serta Pakistan untuk pemeriksaan.