Tumpuan :
Nasional

DBKL kompaun pemilik perniagaan upah pekerja asing tanpa permit

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan sebanyak 1,225 notis kompaun kepada pemilik perniagaan di ibu negara kerana menggaji pekerja asing tanpa permit kerja sejak awal tahun ini.

Dalam satu kenyataan, DBKL berkata tindakan diambil mengikut Undang-undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 dan Undang-undang Kecil Pasar Borong (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2002.

Katanya, dalam Ops Tebah (Operasi Tegas Banteras Aktiviti Haram), sebanyak empat premis diarah ditutup kerana dikendalikan sepenuhnya oleh warga asing.

Ops Tebah adalah operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen (JIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“DBKL sudah menjalankan empat operasi Ops Tebah pada tahun ini. Daripada 11 premis perniagaan yang dipantau di bawah operasi itu, empat ditutup serta-merta mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana dikendalikan pekerja asing,” katanya.

Manakala di bawah satu lagi operasi khas, DBKL memantau 59 premis dengan 15 diarah untuk menghentikan operasi.

Menurut DBKL, sebanyak 53 notis turut dikeluarkan membabitkan 22 rampasan dan 22 kertas siasatan dibuka.

Katanya, sepanjang siri operasi dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, sebanyak 2,261 barangan telah dirampas.

“Dalam beberapa kes, DBKL mengesyorkan pembatalan lesen perniagaan untuk majikan tempatan yang terlibat,” katanya.

Dalam serbuan pada 12 September lalu, DBKL menutup dua premis di Taman Maluri selepas didapati diuruskan peniaga asing.
Dalam serbuan lain pada 25 September, empat premis tanpa lesen perniagaan sah yang dikendalikan pekerja asing turut ditutup.

“Penguatkuasaan berterusan akan dilaksanakan di Kuala Lumpur melalui operasi berkala. Orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada [email protected],” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini