Tumpuan :
Nasional

DBKL gempur penjaja tanpa lesen, warga asing

Antara penjaja makanan yang diperiksa oleh DBKL semalam.

KUALA LUMPUR: Penjaja ‘steamboat’ atau LOLO sekali lagi digempur Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi satu Tindakan Khas Aktiviti Penjaja Tanpa Lesen dan Penjaja Warga Asing, semalam.

DBKL dalam hantaran di Facebook memaklumkan, operasi pemeriksaan ini dibuat untuk kali kedua di sekitar Jalan Haji Hussein dan Jalan Ampang (hadapan LRT Ampang Park) selepas operasi sama dibuat pada 18 Januari lalu.

Antara barangan yang disita oleh DBKL dalam tindakan khas dilakukan di hadapan Ampang Park dan Jalan Haji Hussein, Kuala Lumpur, semalam.

Katanya, DBKL menerusi Jabatan Penguatkuasaan dan Pejabat Cawangan Titiwangsa melaksanakan operasi tindakan khas secara mengejut ke atas pelbagai aktiviti perniagaan dan penjajaan.

“Tindakan khas ini dibuat secara mengejut melalui pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti perniagaan dan penjajaan seperti penjaja makanan, minuman dan lain-lain aktiviti yang membuat kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen, salah guna lesen, halangan tred perniagaan di tempat awam dan penjaja warga asing.

“Melalui tindakan khas yang dijalankan, DBKL membuat enam tindakan sita dan pindah barangan atau peralatan yang diletakkan di tempat awam terhadap pemilik restoran atau gerai, penjaja tanpa lesen warga negara dan penjaja tanpa lesen warga asing menerusi kesalahan di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016,” katanya menurut hantaran itu.

DBKL berkata, antara peralatan yang disita adalah kerusi meja, payung lipat, skuter elektrik, kenderaan LOLO dan lain-lain.

“Barangan dan peralatan yang disita, dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk rekod penyimpanan sementara dan dokumentasi,” katanya.

 

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini