KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarah untuk melakukan tinjauan dan pemantauan berkala terhadap premis perniagaan di sekitar ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata tindakan itu bagi memastikan isu seperti penyewaan lesen perniagaan kepada warga asing tanpa dokumen sah dan pengambilan pekerja dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) dapat dibanteras sebaiknya.
“Saya maklum dan berterima kasih kepada Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan menyerbu dan menangkap PATI di Jalan Silang, di sini, dua hari lalu.
“Saya juga sudah mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk melakukan tinjauan dan pemantauan berkala terhadap premis-premis perniagaan di sekitar Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dr Zaliha turut mengingatkan pemilik premis perniagaan supaya mematuhi peraturan ditetapkan DBKL khususnya membabitkan PATI bagi mengelak risiko penarikan atau penggantungan lesen perniagaan mereka.
“Saya menyeru semua pemilik premis di Kuala Lumpur untuk menggunakan saluran yang betul jika berhasrat untuk mengambil pekerja asing dan mengelak dari menggajikan PATI,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seramai 1,101 PATI ditahan dalam operasi bersepadu di ‘Mini Dhaka’ di Jalan Silang, di sini, kelmarin.
Serbuan itu dilakukan hasil risikan dan maklumat berkaitan kebanjiran warga asing serta aktiviti jenayah di lokasi terbabit.