KUALA LUMPUR: Sebelas premis niaga dikendalikan warga asing di kompleks beli-belah Sungei Wang Plaza, di sini, diarah tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Arahan dikeluarkan dalam operasi khas ketiga dilancarkan Jabatan Penguatkuasaan DBKL lewat petang semalam selepas melakukan risikan dan pemantauan sejak seminggu sebelum itu.
Dalam satu kenyataan, DBKL memaklumkan, pemeriksaan mengejut dilakukan ke atas premis niaga di kompleks beli-belah berkenaan yang dikenal pasti dikendalikan warga Bangladesh, Pakistan dan Myanmar.
“Menerusi pemerhatian dan risikan khas oleh pasukan penguat kuasa DBKL sejak seminggu lalu, serbuan dijalankan ke atas 14 premis dikendalikan warga Bangladesh, Pakistan dan Myanmar, menjual barangan am membabitkan pakaian, kasut, beg, aksesori telefon dan aksesori komputer.
“Premis niaga berkenaan juga ada yang menawarkan khidmat membaiki peralatan elektrik dan salun kuku. Operasi berakhir kira-kira jam 9 malam tadi,” menurut kenyataan terbabit.
Menurut DBKL, semakan kemudian dibuat ke atas 27 pembantu atau pengendali premis warga asing sebelum tindakan penutupan serta merta terhadap 11 premis niaga diambil mengikut Sekseyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.
“DBKL turut mengeluarkan 14 notis kompaun terhadap semua premis terbabit mengikut Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016. Ia membabitkan empat notis tiada lesen perniagaan dan 10 notis melantik pembantu dengan tiada kebenaran.
“Surat tunjuk sebab akan dikeluarkan kepada pemilik premis warga tempatan sebelum tindakan penamatan atau pembatalan lesen perniagaan diambil kerana membenarkan warga asing mengendalikan aktiviti perniagaan mereka tanpa kebenaran sah,” kata pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
DBKL turut memaklumkan, akan meneruskan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan di semua lokasi tumpuan aktiviti perniagaan dikendalikan warga asing di sekitar kawasan pentadbirannya dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Terdahulu dalam operasi kedua pada 21 Januari, sejumlah 14 premis perniagaan sekitar Kenanga Wholesale City, Jalan Kenanga off Jalan Gelugor diarah tutup serta merta oleh DBKL kerana dikesan dikendalikan warga asing.
Sehari sebelum itu, sembilan premis niaga kendalian warga asing di sekitar pusat beli-belah Berjaya Times Square dan Jalan Imbi di Bukit Bintang turut dikenakan tindakan sama.– BERITA HARIAN