KUALA LUMPUR: Karnival Havoc Food Festival yang berlangsung sejak 9 Januari di ruangan parkir Sama Square, Setapak, telah diarahkan untuk dihentikan serta-merta oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) susulan aduan kesesakan lalu lintas yang mengganggu penduduk setempat.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pejabatnya telah menerima pelbagai aduan daripada penduduk sejak penganjuran acara itu bermula.
Jelas Nik Nazmi, penganjuran acara itu juga dijalankan tanpa lesen hiburan sah daripada DBKL.
“Susulan kesesakan lalu lintas melampau yang telah mengganggu penduduk di kawasan terbabit, pejabat saya telah menyusuli dengan tindakan ke pihak berkuasa.
“Sehubungan dengan itu, pihak penganjur Havoc Food Festival telah diarahkan oleh DBKL untuk memberhentikan penganjuran Havoc Food Festival bermula hari ini,” katanya.
Selain itu, Nik Nazmi turut mengingatkan semua penganjur acara di kawasan Setiawangsa agar mematuhi undang-undang dan mengambil kira kebajikan penduduk sebelum merancang sebarang program yang berpotensi mengganggu ketenteraman awam.
“Penganjur diingatkan untuk tidak mengulangi kesalahan ini. Sebarang acara yang dianjurkan perlu mengambil kira situasi penduduk setempat dan mendapatkan kelulusan pihak berkuasa,” tegasnya.
Terdahulu, tular di media sosial aduan oleh penduduk di Setapak yang mendakwa Havoc Food Festival, yang berlangsung hingga 12 Januari dikatakan menjadi punca kepada kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.