Oleh: Aslian Abu Bakar
KUALA LUMPUR: ‘All the shine of a thousand spotlights. All the stars we steal from the night sky.’
Itu antara bait lirik dalam lagu ‘Never Enough’ yang merupakan lagu pembukaan konsert maestro muzik dari Kanada, David Foster yang berlangsung di ibu negara, malam semalam.
Tampil dengan 23 buah lagu, konsert berskala besar itu membawa 3,000 penonton mengimbau kembali lagu-lagu hits yang digarap oleh pemenang 16 Anugerah Grammy itu.
Konsert ‘Hitman: David Foster and Friends Asia World Tour 2023’ yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur meninggalkan kesan yang cukup manis buat peminatnya.
Rata-rata pengunjung daripada pelbagai lapisan usia nyata teruja dapat bersama-sama mengimbau kembali lagu-lagu hit Foster bersama barisan khas pemuzik dan penyanyi terkemuka dunia.
Lebih membanggakan, konsert turut menyaksikan gandingan hebat penyanyi terkemuka tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menyampaikan dua buah lagu iaitu ’Power Of Love’ dan Sahabat Matahari.
Malah, Foster yang memainkan pianonya sepanjang konsert itu turut kagum dengan kelunakan suara penyanyi nombor satu negara itu.
Pengunjung, Aini Khazlina Khalid, 45, berkata dia tidak melepaskan peluang keemasan menonton lebih dekat persembahan Foster yang menjadi antara artis antarabangsa yang paling diminatinya.
“Sebelum ni saya tengok ada jualan tiket konsertnya di Jakarta, tapi saya tak sempat nak beli. Sebaik saya tengok dia turut akan membuat persembahan di Malaysia, saya cepat-cepat membelinya. Banyak lagu hasil air tangan Foster saya minat daripada saya muda sehingga kini,” katanya.
Konsert itu turut menampilkan rakan-rakan Foster iaitu Michael Bolton, Peabo Bryson, Loren Allred dan isteri Foster sendiri, Katharine McPhee.
Lebih manis, sebahagian daripada jualan tiket konsert itu disalurkan kepada Yayasan Prihatin selaku penganjur, dalam usaha mengumpul dana kebajikan untuk memperkasa pendidikan dalam kalangan pelajar di Malaysia.