Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Setiausaha Pendayaupayaan Pengguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Zakaria Shaaban dilantik sebagai Ketua Pengarah Imigresen baharu berkuat kuasa hari ini.
Bekas Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Pengurusan) itu menggantikan Datuk Ruslin Jusoh.
Jabatan Imigresen (JIM) menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan Majlis Penyerahan Nota Serah Tugas Ketua Pengarah Imigresen Ruslin kepada Zakaria telah diadakan di Dewan Hamka Ibu Pejabat JIM, di sini hari ini.
“Seterusnya Ruslin diraikan pada Majlis Paluan Berundur di Ibu Pejabat JIM. Majlis itu dimulakan dengan ucapan Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Pengurusan), Ismail Mokhtar dan diikuti oleh Ruslin.
“Acara diakhiri dengan Ruslin melakukan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Imigresen pada Majlis Paluan Berundur dan isteri Datin Nazirah Abd Hamid, Pengerusi Puspanita Cawangan Kecil Jabatan Imigresen Malaysia dibawa menaiki kenderaan istiadat imigresen pada majlis tersebut,” menurut hantaran itu.
Turut hadir Pengarah Bahagian, Pengarah Imigresen Negeri, pegawai kanan dan warga JIM.
Menerusi hantaran berasingan, JIM mengucapkan tahniah atas pelantikan Zakaria sebagai Ketua Pengarah Imigresen.
“Kami warga JIM mengucapkan selamat datang dan selamat bertugas dengan jayanya,” menurut hantaran itu.
Dalam satu lagi hantaran, JIM turut memberikan penghargaan kepada Ruslin atas tugas yang dilaksanakan sepanjang menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah.
“Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan atas jasa serta khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Imigresen,” menurut hantaran itu.
Ruslin dilantik menjadi Ketua Pengarah Imigresen sejak 22 Mac 2023, menggantikan Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud yang ditukarkan sebagai Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) ketika itu.
Khairul Dzaimee kini adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sejak 5 September lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.