Tumpuan :
Nasional

Datuk Yong dipilih sebagai Presiden MPI

Datuk Yong Soo Heong, Presiden baharu MPI

PETALING JAYA: Datuk Yong Soo Heong, bekas Ketua Pengarang Bernama dan kini Ketua Pengarang portal berita, The Weekly Echo dilantik sebagai Presiden Malaysian Press Institute (MPI) pada pemilihan tiga jawatan utama Majlis Pentadbir pada Mesyuarat Agung Luar Biasa MPI yang diadakan pada hari ini.

Pengarang Kumpulan The New Straits Times, Farrah Naz Karim dipilih sebagai Timbalan Presiden manakala Brian Martin, Pengarang Pengurusan Star Media Group sebagai Naib Presiden.

MPI dalam kenyataannya berkata Datuk Yong merakamkan ucapan terima kasih kerana kepercayaan dan penghormatan yang diberikan oleh ahli kepada Majlis Pentadbir MPI yang baharu.

“Memandangkan landskap media semakin berkembang, MPI boleh menjadi lebih inklusif dan relevan kepada industri media dengan mengadakan lebih banyak program-program latihan”, katanya.

Timbalan Presiden MPI, Farrah Naz (duduk, tiga dari kiri) dan Naib Presiden,Brian Martin (duduk, empat dari kanan) bergambar bersama Ahli selepas tamat mesyuarat agung luar biasa. Tiada dalam gambar: Presiden Datuk Yong yang menyertai secara atas talian. Foto: Ihsan MPI

Beliau berkata program-program latihan ini bertujuan untuk membantu melahirkan lebih ramai wartawan yang berkualiti dan berkebolehan tinggi dalam usaha membantu meningkatkan taraf kewartawanan di negara ini.

Tambahnya dengan kerjasama dan penglibatan semua pihak, MPI akan menjemput lebih banyak media untuk menyertai MPI sebagai ahli.

Tempoh perkhidmatan Ahli Majlis Pentadbir adalah sehingga mesyuarat Agung MPI yang akan diadakan sebelum pertengahan tahun hadapan.

MPI mempunyai enam orang Ahli Majlis Pentadbir termasuk tiga jawatan yang baharu dilantik.

Loading...
Terkini