Oleh: Shuhadah Marzuki
PETALING JAYA: Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dilantik sebagai Ketua Audit Negara baharu.
Pelantikan Datuk Wan Suraya itu berkuat kuasa 13 Jun selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas rundingan bersama Majlis Raja-Raja.
Dalam satu kenyataan, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali memaklumkan pelantikan beliau adalah berdasarkan kepada kepimpinan dan pengalaman luas sepanjang 29 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam.
Jawatan terakhir Datuk Wan Suraya adalah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia, (IIM).