Tumpuan :
Nasional

Datuk Shah Redza dilantik CEO Malaysia Forest Fund

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Datuk Shah Redza Hussein dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Malaysia Forest Fund (MFF) berkuat kuasa semalam (2 Januari).

Beliau menggantikan Datuk Jeffri Abdul Rasid yang telah menamatkan perkhidmatan pada Jun tahun lalu.

MFF dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Shah Redza akan menerajui dan mengetuai pembangunan serta penyampaian visi dan strategi MFF khususnya dalam membangunkan instrumen kewangan inovatif bagi memelihara, memulihara, melindungi dan menguruskan hutan secara berkekalan.

“Selain itu, beliau juga akan memimpin MFF dengan penekanan pada matlamat jangka panjang, pertumbuhan dan keuntungan serta menguruskan hal ehwal dan operasi harian syarikat untuk melaksanakan dasar dan strategi yang telah dipersetujui oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah MFF,” menurut kenyataan itu.

Shah Redza mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang konservasi dan perlindungan alam sekitar, perkhidmatan korporat serta sektor teknologi.

Sebelum pelantikan ini, beliau adalah CEO Enggang Management Services Sdn Bhd yang diberi mandat untuk mengurus dan mengoperasikan Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah di Pahang iaitu rizab harimau pertama di Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MFF, Dr Yasmin Rasyid berkata, pelantikan Shah Redza akan menerajui dan memacu MFF sebagai sebuah agensi penasihat bersepadu kebangsaan dan penyedia penyelesaian kewangan untuk sektor perhutanan lestari.

“MFF kini berada pada tahap yang progresif dengan fokus kepada pelaksanaan dan pengembangan Forest Conservation Certificate dan juga pembangunan Forest Carbon Offset dari segi garis panduan dan peraturan serta pembangunan metodologi yang terpilih,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini