KUALA LUMPUR: Usahawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau dikenali Datuk Seri Vida, akan mencabar tuntutan perintah sita kediaman, dan empat kenderaannya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Peguam dilantik Datuk Seri Vida, Datuk Adnan Seman berkata, beliau telah menerima arahan untuk mencabar tuntutan berkenaan.
Dalam satu kenyataan, Datuk Adnan memaklumkan, pihaknya mempunyai 13 hari untuk mencabar tuntutan itu, memandangkan proses lelongan sitaan ditetapkan 9 Disember ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata kesemua empat kenderaan disita itu, masih berada di rumah Datuk Vida.
Sebelum ini, media melaporkan, perintah sita terhadap aset Vida dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas usahawan itu tidak membayar hutang berjumlah RM1,060,285 daripada kontraktor yang dilantik bagi pengubahsuaian sebuah kilang di Shah Alam menjadi studio.
Sehubungan itu, empat kereta mewah antara barangan miliknya yang dilapor disita di kediamannya di Persiaran Bukit Meru, Ipoh, Perak selepas gagal melunaskan tunggakan bayaran ubah suai bangunan kilang miliknya.
Perintah penyitaan itu dilapor dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Ipoh, Anis Hanini Abdullah selepas membenarkan permohonan Mohammad Taufik Kamarul daripada syarikat kontraktor pembinaan terbabit.
Pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan dilakukan pada jam 9 pagi semalam di kediaman Vida di Ipoh.
Peguam Samir Zainal dilapor berkata, pihaknya melakukan sitaan selepas mendapat perintah penyitaan dan penjualan daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Menurutnya, pihaknya mendapat kerjasama daripada kakitangan Vida sepanjang proses sitaan di rumah usahawan kosmetik terkenal itu, di sini semalam.
Semalam, Vida memaklumkan sudah melantik peguam bagi menyelesaikan isu berkenaan melalui entri di Instagram (IG).
Sementara itu, Vida ketika dihubungi BH Online memaklumkan bakal mengadakan sidang media berhubung isu berkenaan dalam masa terdekat sebaik pulang ke tanah air dari Shanghai, China.
“Saya sekarang berada di luar negara, balik Malaysia nanti saya jawab dari A sampai Z.
“Balik nanti, saya akan buat sidang media untuk menjelaskan perkara ini…. Tunggu,” katanya ketika dihubungi di Shanghai, China di sini, hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.