comscore
Tumpuan :
Nasional

Datuk Seri Sulaiman letak jawatan

Datuk Seri Ahmad Zahid ditemui media pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al Falah Kampung Lebu, Bentong hari ini.

BENTONG: Khabar angin berlakunya pertukaran Ketua Menteri Melaka akhirnya terjawab dengan peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Perkara itu disahkkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang turut menyatakan beliau akan menghadap Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam untuk mempersembah nama calon Ketua Menteri baharu.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata Sulaiman menyerahkan surat itu ketika pertemuan di Parlimen, semalam.

“Saya mengesahkan bahawa saya sudah menerima surat peletakan jawatan daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. Saya akan menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam untuk mengemukakan nama yang sesuai untuk dilantik sebagai Ketua Menteri yang baharu.

“Saya harap Yang Dipertua Negeri menerima dan mempertimbangkan nama-nama yang saya kemukakan (Ketua Menteri baharu) dan tarikh majlis angkat sumpah akan diputuskan oleh Yang Dipertua Negeri,” katanya pada sidang media, di sini.

Terdahulu, beliau melancarkan program ‘Santunan Kasih Ramadan’ Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Masjid Al-Falah Kampung Lebu, hari ini.

Ditanya mengenai khabar angin Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh akan dipilih untuk jawatan tertinggi kerajaan negeri itu, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak boleh mengesahkan atau menafikannya.

“Lebih baik tunggu pengumuman daripada negeri itu,” katanya.

Mengenai perbincangan peletakan jawatan Sulaiman akan membuka jalan kepada Kerajaan Perpaduan di Melaka, Zahid berkata, ia boleh berlaku tetapi semua orang perlu menunggu perkembangan apabila Ketua Menteri baharu akan mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pertama selepas Aidilfitri.

Loading...
Terkini