Tumpuan :
Nasional

Datuk Seri Ayob Khan dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara

Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay . Foto : NSTP 


Oleh : Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa Jumaat ini.

Datuk Seri Saifuddin menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, pelantikan memaklumkan Datuk Seri Ayob Khan mendapat perkenan Yang Di Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Adalah dimaklumkan bahawa seperti yang termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat YAB Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis telah
memperkenan pelantikan YBhg. Datuk Seri Ayob Khan bin Mydin Pitchay sebagai Timbalan Ketua Polis Negara mulai 23 Jun 2023″.

“Kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah di atas pelantikan ini” katanya.

Datuk Seri Ayob Khan 57 tahun dilahirkan pada 27 Julai 1966 di Kota Setar, Kedah.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pernah menjawat pelbagai jawatan di peringkat Negeri dan Kontinjen.

Beliau memulakan tugas pada tahun 1993 di Cawangan Khas Bukit Aman dari pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) sehingga ke pangkat Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) selama 15 tahun.

Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) dan ditempatkan di Urus Setia KPN
(Penyelidikan dan Pembangunan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman sebelum kembali ke Cawangan Khas dengan pangkat Timbalan
Pesuruhjaya Polis (DCP) pada tahun 2016.

Beliau berkhidmat selama empat tahun dan telah dinaikkan pangkat ke Pesuruhjaya Polis (CP) pada tahun 2020 dan menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Johor.

Pada 2022, beliau kembali ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan kini berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah.

Loading...
Terkini