comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Datuk, sekutu ditahan, wang tunai RM38 juta, emas 200kg RM60 juta dirampas

PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan sekutunya ditahan manakala wang tunai RM38 juta, emas seberat anggaran 200 kilogram bernilai kira-kira RM60 juta serta 17 kereta mewah dirampas dalam Op 82S yang diadakan besar-besaran, Isnin lalu.

Menurut sumber, pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguatkuasa Malaysia – Multi Agency Task Force (MATF) diketuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan operasi besar-besaran itu sekali gus melumpuhkan satu sindiket rasuah, pecah amanah, penyeludupan barang-barang haram dan pengurangan cukai tidak sah.

“Operasi yang diberi nama Op 82S adalah kes pertama dijalankan di bawah Pasukan Petugas MATF yang dipengerusikan Peguam Negara.

“Operasi itu dijalankan dengan kerjasama enam agensi penguatkuasaan lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Siber Sekuriti Malaysia (CSM),” katanya.

Sumber berkata, dalam operasi Isnin lalu, serbuan serentak dilakukan di 34 lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor membabitkan kekuatan 315 pegawai pelbagai agensi.

“Sehubungan itu, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan sekutunya telah ditahan dan sejumlah wang tunai anggaran kira-kira RM 38 juta, emas seberat anggaran 200 kilogram bernilai kira-kira RM60 juta serta 17 buah kereta mewah antaranya berjenama Maserati, Ferrari dan Mercedes Benz juga telah disita,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi, mengesahkan penahanan terbabit.

Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, Akta Percukaian 1967 dan Akta Kastam 1967.

Loading...
Terkini