KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat dengan gelaran ‘Datuk’ palsu ditahan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah RM1 juta sebagai balasan memberikan kerja subkontraktor bagi tender membekal makanan dan minuman bernilai RM900 juta.
Menurut sumber, suspek berusia lingkungan 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya dekat sini, kira-kira jam 8 malam tadi.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada Ogos 2023 dan wang rasuah (RM1 juta) dikesan dipindahkan ke akaun milik syarikat suspek.
“Suspek juga disyaki mengaku sebagai kontraktor utama bagi tender pembekalan makanan dan minuman selama lima tahun kepada pekerja di sebuah loji penapisan minyak, sedangkan pembekalan tersebut tidak wujud.
“Pada masa sama, suspek yang turut menyamar sebagai Datuk ini mempunyai rekod jenayah melampau membabitkan kes penipuan,” kata sumber.
Suspek kini direman lima hari sehingga 20 Januari ini dengan perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.