comscore
Tumpuan :
Nasional

Datuk Mohd Rosli Abdullah dilantik KP Maritim Malaysia yang baharu

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

PUTRAJAYA: Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang ketujuh berkuatkuasa semalam.

Menerusi kenyataan agensi berkenaan, sebelum beliau dilantik ke jawatan itu, Datuk Mohd Rosli merupakan Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia.

“Berpengalaman hampir tiga dekad dalam bidang keselamatan maritim, Datuk Mohd Rosli memiliki kepakaran dalam merancang pelaksanaan operasi maritim khususnya dalam menangani isu jenayah rentas sempadan seperti kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), penyeludupan dadah dan kontraban serta rompakan di laut.” menurut kenyataan itu.

Antara kejayaan terbesar di bawah kendalian beliau, Ops Pelantar Merah yang menghasilkan tangkapan berprofil tinggi, sekaligus mengurangkan kadar jenayah di sekitar pelantar minyak di perairan negara.

Datuk Mohd Rosli pernah menyandang pelbagai jawatan penting di Maritim Malaysia termasuk Pengarah Maritim Negeri Selangor, Pengarah Perisikan Maritim Malaysia, Pengarah Perancangan Strategik Maritim Malaysia, Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan serta Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim Malaysia.

“Melalui pelantikan ini, beliau diharap dapat membawa sinergi baharu dalam memperkasakan lagi peranan Maritim Malaysia sebagai agensi utama dalam menguatkuasakan undang-undang serta menyelamat nyawa dan harta benda di laut demi kesejahteraan perairan negara.” ujar kenyataan itu.

Datuk Mohd Rosli menggantikan Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin yang bersara wajib berkuat kuasa 19 April lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini