comscore
Tumpuan :
Nasional

Datuk Lat dan mesej Hari Malaysia

Oleh: Juliana Sharin & Mohammad Nor Affiq Norshamsudin

PETALING JAYA: Tidak kira di mana sahaja anda berada, sambutan Hari Malaysia, seharusnya dimanfaat dengan memupuk, mengasah dan memperbaharui iltizam untuk mengeratkan perpaduan.

Contohi, Seniman Diraja, Datuk Mohammad Nor Khalid atau atau lebih dikenali Lat, yang tanpa jemu menerapkan mesej keharmonian dalam ribuan karya beliau untuk sekian lama.

Sempena Hari Malaysia, wartawan Juliana Sharin dan Mohammad Nor Affiq Norshamsudin mendekati  figura yang sinonim dengan siri “Kampong Boy”, yang menceritakan gelagat budak kampung, berbadan gempal, berambut tebal, dan berkain sarung, bernama Mat.

Meneroka hutan, sakit bersunat, keriuhan kenduri kendara antara latar cerita yang di ceduk dari pengalaman Datuk Lat sendiri.

Perkongsian beliau, diraikan penduduk berbilang kaum hingga ke hari ini.

Peminat kartun Datuk Lat, Shirley Yeap Chin Chwen sanggup datang dari Pulau Pinang untuk melawat di Galeri Rumah Lat yang terletak di Batu Gajah, Perak.

“Dalam kartun Lat memang dia ada moral. Saya boleh katakan sesiapa yang tengok kartun Lat akan dapat gambaran bangsa Malaysia. Jadi sebagai seorang rakyat Malaysia, memang saya suka dengan kartun lat,” katanya.

Kepelbagaian kaum di Malaysia bukan sahaja menjadi inspirasi Datuk Lat untuk menghasilkan kartun mencuit hati tetapi juga sebagai jendela untuk rakyat, menghayati cara hidup masyarakat majmuk.

Elemen budaya dan warisan tradisi dilakar menerusi penyampaian santai dan bersahaja, namun sarat dengan mesej.

Itulah yang menjadikan karya berusia lebih empat dekad, kekal relevan, dan sesuai untuk rujukan generasi melania bagi menyemarakan semangat perpaduan seterusnya membina identiti nasional.

“Bila saya buat kerja-kerja ini. Lukisan mengenai pelbagai kaum ini. Tidak ada sesiapa yang suruh. Sebab surat khabar itu, dia bagi saya bebas. Tetapi dalam pada bebas itu kita kena jaga hati. Satu lagi kita kena melibatkan semua orang, bukan untuk satu puak sahaja atau satu bahagian sahaja, untuk semua orang, berbagai umur,” ujar Datuk Lat ketika ditemui baru-baru ini.

Kebijaksanaan beliau mempersembahkan karya dengan perspektif kemanusiaan universal secara lelucon tanpa berat sebelah, turut mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Sinisnya tidak mengguris kerana disulam tawa, dialas santun.

“Bila pelukis itu menyiapkan karyanya, fikirlah yang ini untuk masyarakat semua kaum dan pelbagai peringkat umur, kalau boleh bagilah mereka sukakan karya itu dan merasa mesra membacanya. Sekarang ni saya tengok balik lukisan lukisan saya yang lama, banyak, beribu‑ribu keping, saya tengok setengah itu saya senyum juga. Sebab saya dah lupa. Tetapi tidak adalah yang saya kata tidak sesuai.” pesan kartunis tersohor ini.

Apa pun, kehebatan kartunis tidak berpaksi kepada pada teknik lukisan semata‑mata dan Datuk Lat adalah manifestasi hakikat ini.
Pengarah Lembaga Muzium Negeri Perak, Mohamad Amir Mohd Dahalan berkata, karya Datuk Lat bukan seni biasa, malah lebih daripada itu iaitu seni kehidupan bermasyarakat.

“Budaya di kampung, kehidupan di bandar, bagaimana dia bergaul bersama bangsa lain, bukan setakat bangsa melayu sahaja, bangsa cina juga bangsa india boleh hidup harmoni. Seni hidup bermasyarakat atau seni hidup berukun negara yang sepatutnya kita ketengahkan lagi demi masa depan Malaysia,” katanya.

Loading...
Terkini