comscore
Tumpuan :
Nasional

Datuk Khadijah Ibrahim kemalangan di Beaufort

Keadaan kereta pacuan empat roda dinaiki Datuk Khadijah Ibrahim yang terbabit kemalangan dengan sebuah Toyota Avanza dekat Taman Kinamas, Jalan Beaufort – Kota Kinabalu di Beaufort. Foto ihsan bomba

BEAUFORT: Penyanyi veteran Datuk Khadijah Ibrahim dilaporkan cedera selepas terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan dari Brunei ke Kota Kinabalu, petang tadi.

Dalam kejadian pada kira-kira 5.30 petang itu, kereta pacuan empat roda Toyota Hilux dinaiki Khadijah bertembung dengan Toyota Avanza dekat Taman Kinamas, Jalan Beaufort-Kota Kinabalu di sini.

Selain Khadijah, turut cedera dalam kenderaan pikap terbabit ialah Baharuddin Hassan, 70, dan Kharnita Adrianti Aminudin, 40.

Bagaimanapun, keadaan penyanyi berkenaan dilaporkan baik dengan ketiga-tiga mereka dapat keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan anggota bomba yang dikejarkan untuk membantu mangsa.

Khadijah yang dilaporkan hanya mengalami cedera ringan dan berdarah sedikit di tangan dipercayai memandu kenderaan terbabit.

Beliau juga sempat memaklumkan kepada anggota bomba dan polis yang tiba di lokasi kejadian mengenai konsertnya yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 1 November depan.

Selain itu, pemandu dan penumpang kereta Toyota Avanza yang dikenali sebagai Liaw Lee Jin, 30, dan Fong Pak Man, 60 juga dilapor cedera.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort, Mohd Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 5.29 petang tadi.

Sejurus selepas itu, katanya sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi dan tiba pada 5.34 petang.

“Terdapat lima mangsa terbabit dan berjaya keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan bomba di lokasi kejadian.

“Dua mangsa di dalam kenderaan Toyota Avanza dan tiga mangsa dalam kenderaan Toyota Hilux dihantar ke Hospital Beaufort oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dan memaklumkan operasi tamat pada 6.10 petang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini