comscore
Tumpuan :
Nasional

Datuk Azman dipanggil SPRM tapi bukan disiasat

Datuk Azman Mohd Yusof (kiri) semasa meninjau Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2023 di Pasaraya TF Value-Mart, Tambun, Ipoh. -Foto: NSTP

IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd Yusof berhubung dakwaan kementerian itu terlebih belanja untuk subsidi minyak masak tahun lalu.

Azman berkata, beliau tidak disiasat tetapi hanya memberi keterangan berhubung proses yang berlaku berkaitan pengagihan minyak masak bersubsidi.

“Memang sudah dipanggil tahun lepas lagi dan ia bukannya dipanggil satu kes. Sebaliknya, dipanggil hanya untuk SPRM mendapatkan keterangan tentang proses yang berlaku berkaitan pengagihan minyak masak bersubsidi.

“Saya tak tahu mengapa berita mengenai isu ini dikeluarkan kembali, sedangkan berdasarkan bacaan saya, seolah-olah ada butiran dalam laporan berita itu tidak sepatutnya keluar kerana di peringkat rahsia, memandangkan itu maklumat berkait dengan siasatan yang dari situ juga mungkin berlakunya ketirisan.

“Saya sememangnya sedia untuk memberikan kerjasama dengan sesiapa sekalipun termasuk kepada Bukit Aman, memandangkan setakat ini saya juga menerima kerjasama yang baik daripada mereka dengan membantu saya membongkar banyak kes penyeludupan, khususnya minyak masak dan diesel,” katanya selepas meninjau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa dan Majlis Berbuka Puasa di Pasaraya TF Value Mart Tambun, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan dua portal media tempatan berhubung dakwaan beliau berbelanja melebihi nilai RM9 juta, bagi tambahan kuota subsidi minyak masak pada tahun lepas, selain dakwaan terdapat pemotongan atau rasionalisasi dan kelulusan kuota yang diberikan kepada dua syarikat dengan alamat pendaftaran sama.

Portal itu yang memetik sumber, dilapor berkata, SPRM memanggil beberapa pegawai kementerian termasuk Azman.

Azman berkata, beliau meluluskan kuota tambahan minyak masak paket bersubsidi bagi memastikan bekalan mencukupi di pasaran, selaras dengan perundangan.

Isu berkenaan timbul semula mungkin kerana rasa tidak berpuas hati dengan arahan baharu yang diberikan kepada pegawai di kementerian terbabit, untuk meneliti semula peraturan, proses, serta prosedur operasi standard (SOP) lama yang dianggap sudah tidak lagi sesuai.

Loading...
Terkini