Oleh: Siti Khadijah Jaafar
PUTRAJAYA: Proses merekod keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzaruddin Shah Anuar bersambung hari ini.
Difahamkan proses mengambil keterangan mereka sepatutnya bermula jam 10 pagi tadi.
@buletintv3 Pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar tiba di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyambung memberi keterangan berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam FashionValet berjumlah RM43.9 juta. #BuletinTV3 #Fashionvalet #VivyYusof #SPRM #Pelaburan #Khazanah ♬ original sound – BuletinTV3
Bagaimanapun, kenderaan yang membawa pasangan itu hanya tiba di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya sekitar jam 12.54 tengahari.
Semalam, SPRM mengambil keterangan pasangan itu di lokasi sama selepas mereka hadir pada jam 2.30 petang dan selesai pada jam 10 malam.
Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 susulan laporan kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam FashionValet berjumlah RM43.9 juta.
Datin Vivy dan Datuk Fadzaruddin antara enam individu yang dirakam percakapan susulan serbuan SPRM di empat lokasi iaitu pejabat FashionValet, selain Kementerian Kewangan (MoF), Khazanah dan PNB, sebelum ini.