Oleh: Syafiqah Damanhuri
KUALA LUMPUR: Isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor terharu apabila perjuangan suaminya masih dihargai oleh ahli UMNO.
“Saya rasa amat terharu dengan sokongan yang diberikan oleh ahli-ahli UMNO yang datang ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ini. Saya dapat merasai betapa mereka menghayati perjuangan suami saya.”
Menurut Datin Seri Rosmah, ahli UMNO mahukan suaminya segera dibebaskan dan menghadapi perbicaraan semula yang adil.
“Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang memperjuangkan keadilan dalam negara ini. Bukan sahaja untuk Datuk Seri Najib, tetapi untuk semua orang dalam negara ini.” katanya ketika ditemui media semasa menghadiri PAU 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.
Tambah Datin Seri Rosmah, beliau merasa sedih apabila suaminya tidak ada bersama dalam PAU 2023.
Ujar beliau, Datuk Seri Mohd Najib merupakan Presiden UMNO yang selalu memikirkan kepentingan orang Melayu dan pembangunan negara.