comscore
Tumpuan :
Nasional

Data PAJSK calon SPM 2023 tercicir markah disaring semula KPM

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengambil tindakan segera untuk menyaring semula keciciran data Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

KPM berkata, data berkenaan akan diserahkan kepada Unit Pusat Universiti (UPU) bagi tujuan padanan dan penawaran untuk melanjutkan pengajian yang tertakluk kepada kelayakan calon dan kekosongan program.

“KPM sedang menjalankan siasatan secara terperinci perkara berbangkit dan melaksanakan langkah intervensi bagi memastikan isu yang timbul dapat di atasi segera dan tidak berulang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, hantaran tular ‘Rezeki Tertangguh Berjemaah’ oleh seorang wanita dikatakan ibu kepada pelajar dari sekolah tahfiz Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) mendakwa, anaknya gagal mendapat pilihan pertama UPUOnline menerusi permohonan keputusan SPM 2023.

Memetik perkongsian beliau di Facebook, sebelum hantaran itu tiba-tiba ‘hilang’, anaknya mendapat keputusan cemerlang semua A dengan merit 98.5.

Bagaimanapun, katanya, kegagalan anaknya mendapat pilihan pertama berpunca akibat markah PAJSK kosong.

“Tertanya-tanya kenapa hampir 90 peratus anak-anak sekolah terbaik Malaysia tidak berjaya menempatkan diri mereka ke institusi pilihan pertama sedangkan merit sangat hebat.

“Anak saya, meritnya mengikut kiraan kami 98.5 ditawarkan pilihan ketiga. Rupa-rupanya semua anak-anak sekolah terbaik Malaysia kosong markah PAJSK mereka. Kosong! Semua!

“Apabila markah kosong implikasinya besar kerana daripada merit 98.5, hanya tinggal 90 sedangkan ini faktor mempengaruhi peluang mereka ke universiti pilihan. Mereka dinilai dengan dua aspek berkenaan keputusan peperiksaan SPM dan markah PAJSK,” katanya.

MTNP dalam maklum balasnya, memaklumkan sudah mematuhi semua garis panduan pelaksanaan dan pengumpulan markah PAJSK ditetapkan KPM.

Ketua Pegawai Eksekutif MTNP, Mohd Lafzul Muda, berkata MTNP juga sudah menghantar markah kepada KPM mengikut ketetapan masa dan kaedah seperti arahan di dalam surat dikeluarkan KPM kepada maahad terbabit.

MTNP sebelum ini terkenal selepas kejayaan mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.07 dalam keputusan SPM 2023, mengatasi sekolah berprestasi tinggi di negara ini.

MTNP juga berjaya mengekalkan pencapaian terbaik dalam SPM di Pahang untuk tempoh 10 tahun berturut-turut selepas ditubuhkan pada 1996.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini