JELI: Polis menafikan dakwaan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kereta peronda dalam kemalangan membabitkan seorang pelajar di Kilometer 10, Jalan Jeli-Dabong, di sini, malam Khamis lalu hilang, sebaliknya ia telah diambil pegawai penyiasat.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Saari Yaacob berkata, kad rakaman dashcam itu diambil untuk dijalankan siasatan bagi pembuktian di mahkamah.
“Tidak benar dakwaan rakaman dashcam hilang sebaliknya sudah diambil oleh pegawai penyiasat untuk pembuktian di mahkamah.
“Mana-mana kemalangan yang membabitkan kenderaan yang mempunyai dashcam memang akan terus diambil oleh pegawai penyiasat untuk siasatan dan pembuktian, bukannya hilang.
“Jika terbukti anggota peronda yang salah, pihak kami tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan tatatertib terhadapnya,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, remaja lelaki yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) parah akibat kemalangan selepas melanggar kereta peronda polis pada jam 9.20 malam 19 Disember lalu.
Kemalangan berlaku ketika kereta peronda yang dari arah Kuala Balah ke Jeli cuba mengelak anjing yang tiba-tiba melintas dan pada masa sama, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 datang dari arah belakang terus melanggar sisi kanan kereta peronda.
Kemalangan itu menyebabkan remaja lelaki yang berusia 17 tahun itu parah di beberapa anggota badan dan masih dirawat di Hospital Tanah Merah.
Mengulas lanjut Saari berkata, mengikut laporan yang diterima, motosikal yang ditunggangi remaja terbabit tidak mempunyai lampu dan mangsa juga tiada lesen memandu selain tidak memakai topi keledar.
“Saya akan ziarah remaja lelaki itu di hospital dan dimaklumkan dia sudah menjalani pembedahan tangan yang cedera dalam kemalangan itu kelmarin.
“Saya menggesa orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak benar sekali gus boleh mengganggu siasatan dan diminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat sila tampil atau menghubungi kami untuk membantu siasatan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.