Tumpuan :
Dunia Seni

Dasha imbau kenangan Logan, David Arumugam

Dasha Logan dan Datuk David Arumugam pada majlis pelancaran album Legasi di Kuala Lumpur.

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

KUALA LUMPUR: Tidak mahu lagu-lagu Alleycats hilang ditelan zaman.

Itu harapan anak kepada vokalis Alleycats, mendiang Datuk Loganathan Arumugam atau Loga dan anak saudara kepada Datuk David Arumugam, Dasha Logan, 38, yang mengambil keputusan memberi nafas baharu terhadap beberapa karya duo terkemuka negara itu.

Katanya, dia bukan hanya mahu meneruskan legasi, tetapi dia juga mahu menghidupkan semula lagu-lagu Alleycats selain memastikan generasi muda mengenali karya-karya berkenaan.

Dasha memberitahu, selepas sekian lama akhirnya dia berjaya menghasilkan Extended Play (EP) berjudul Legasi.

Katanya, Legasi adalah penghormatan kepada perjalanan muzik dirinya sendiri yang banyak dipengaruhi karya bermakna yang penuh nostalgia, selain untuk menghargai karya mendiang bapa dan bapa saudaranya yang kini tidak sihat.

Legasi memuatkan lima lagu yang diberikan nafas baharu; Senandung Semalam, Seribu Bintang, Andainya Aku Pergi Dulu, Sampaikan Salam Cintaku dan Jika Kau Bercinta Lagi yang turut menampilkan satu video muzik eksklusif.

“Untuk pemilihan lagu, susah nak pilih sebenarnya. Banyak lagu yang saya nak pilih untuk nyanyikan macam Berjuta Batu dan lain-lain.

“Kita pun tahu mereka ada banyak lagu hits, susah nak pilih sebenarnya tapi ini merupakan lima lagu hits terbesar Alleycats. Jadi kita teruskan dengan yang ini dahulu.

“Tetapi saya rasa masih ada masa lagi, dan saya harap selepas ini saya nak sangat nyanyi Senyumlah Kuala Lumpur dan Layang-Layang Terputus Tali,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran album itu di Kuala Lumpur.

Lebih menarik, tiga daripada lagu itu bakal menampilkan bapa saudaranya, David Arumugam sebagai pasangan duet.

“Kenapa nak duet dengan dia? Sebab dia Datuk David Arumugam.

“Kalau dia bukan bapa saudara saya pun, itu memang impian saya. Dan jika mendiang bapa saya masih hidup hari ini, saya memang nak berkolaborasi dengan Alleycats sekali.

“Tetapi walaupun bapa saya dah tiada, pak cik masa aktif, masih nak buat lagu macam ini, masih nak buat rakaman, jadi saya ambil kesempatan ini untuk nyanyi dengan dia,” ujarnya.

Tambah Dasha, dia sentiasa bersedia berdepan kritikan terutama dari peminat-peminat karya asal lagu-lagu berkenaan.

“Memang risau. Ini memang risiko besar untuk saya, kerana banyak orang yang dengar lagu ini dan akan cakap bukan macam yang asli ataupun original lagi best, tapi tidak mengapa, biasalah muzik, ada yang suka ada yang tidak. Jadi jika ada yang suka baguslah, kalau tak suka, masih ada yang asli kan.

“Jadinya ia situasi menang-menang lah untuk saya, sama ada mereka dengar Alleycats yang asli atau versi nyanyian saya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini