Tumpuan :
Nasional

Dasar monetari, reformasi sistem kewangan Malaysia dapat pujian IMF

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan memperkenalkan Kerangka Malaysia Madani.

KUALA LUMPUR: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memuji komitmen Malaysia dalam melaksanakan reformasi struktur ekonomi serta mengiktiraf kekuatan dasar monetari dan kestabilan sistem kewangan negara.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan selepas selesai Misi Artikel IV 2025, IMF menyifatkan ekonomi Malaysia terus mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan inflasi kekal rendah dan stabil pada 2024.

Selain itu, IMF turut menekankan bahawa reformasi subsidi serta pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang diluluskan pada 2023 menjadi tonggak penting dalam memperkukuh pengurusan kewangan negara.

Menurut Ketua Pasukan IMF, Masahiro Nozaki, dasar monetari semasa Malaysia berada pada landasan tepat, sambil menegaskan keperluan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk bersedia mengetatkan dasar monetari sekiranya risiko inflasi meningkat.

“Dasar monetari yang fleksibel serta kestabilan sektor kewangan adalah kunci kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif,” katanya.

Beliau turut memuji daya tahan sektor kewangan Malaysia yang kekal kukuh dengan kedudukan modal dan kecairan bank yang mantap.

Sistem kewangan negara juga tidak menunjukkan sebarang risiko sistemik meskipun terdapat cabaran global seperti ketidaktentuan ekonomi dan peningkatan risiko geopolitik.

IMF juga mengalu-alukan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh reformasi fiskal, termasuk penstrukturan subsidi minyak RON95 yang dijangka dilaksanakan pada pertengahan 2025.

Langkah ini, menurut IMF, akan membantu membina semula penampan fiskal negara serta mencapai sasaran defisit jangka sederhana seperti yang digariskan dalam FRA.

“Kami mengesyorkan langkah-langkah pengukuhan pendapatan, termasuk mewujudkan sistem cukai yang lebih meluas dan cekap, serta memastikan perlindungan kepada golongan rentan melalui bantuan tunai yang disasarkan,” tambah Nozaki.

Selain itu, IMF memuji pembangunan Pangkalan Data Utama (PADU) yang akan memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara, selain usaha kerajaan memacu peralihan kepada pelepasan karbon sifar bersih dan meningkatkan kesiapsiagaan terhadap kecerdasan buatan (AI).

Mengulas prestasi ekonomi, IMF menjangkakan pertumbuhan Malaysia akan sederhana kepada 4.7 peratus pada 2025 berbanding 5.0 peratus tahun ini. Inflasi pula diunjurkan meningkat kepada purata 2.6 peratus pada 2025, dipacu oleh pelaksanaan reformasi subsidi bahan api dan tekanan pasaran buruh.

Namun begitu, IMF memberi amaran terhadap risiko luar seperti ketegangan geopolitik, fragmentasi ekonomi global, dan kemungkinan kenaikan inflasi global yang boleh menjejaskan pertumbuhan dan eksport Malaysia.

Nozaki mengakhiri kenyataannya dengan memuji Malaysia atas perbincangan produktif sepanjang misi tersebut serta komitmen kerajaan dalam melaksanakan agenda reformasi struktur.

“Malaysia berada pada landasan tepat untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, inklusif, dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini