Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Dasar kebangsaan mengenai pengeluaran, penggunaan dan sisa plastik selaras dengan Perjanjian Plastik Global (GPT) 2022 masih dalam proses rundingan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, penguatkuasaan GPT akan membawa kepada pengurangan penggunaan plastik yang tidak perlu melalui peralihan yang adil.
“Malaysia setakat ini telah mengambil bahagian dalam empat pusingan rundingan antarabangsa mengenai GPT di Jawatankuasa Rundingan Antara Kerajaan untuk Membangunkan Instrumen Antarabangsa Yang Mengikat Secara Sah mengenai Pencemaran Plastik, Termasuk dalam Alam Sekitar Marin (INC),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, untuk memastikan hasil yang terbaik, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jawatankuasa Rundingan Kebangsaan telah mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan merangkumi kementerian dan agensi kerajaan, industri serta badan bukan kerajaan (NGO).
Pihaknya juga akan terus melibatkan masyarakat sivil secara inklusif dalam merumuskan pendirian mengenai GPT.
“NRES menyokong penuh keinginan rakyat Malaysia agar pencemaran plastik dikurangkan di negara kita. Sebagai Menteri, saya telah mengarahkan agar undang-undang yang mengawal pencemaran plastik disemak semula untuk mengukuhkan langkah-langkah menangani pencemaran plastik.
“Kerajaan juga mempunyai dasar mengenai plastik sekali guna dan plastik dari bahan mampan, walaupun saya mengakui lebih banyak lagi perkara yang boleh dan harus dilakukan,” katanya.
Mengulas mengenai tinjauan baru-baru ini oleh Greenpeace International yang menunjukkan 87 peratus daripada 1,000 rakyat Malaysia menyokong agar pengeluaran plastik dikurangkan untuk memerangi pencemaran, Nik Nazmi berkata, ia adalah bukti sokongan usaha kerajaan dalam memastikan masyarakat kita beralih daripada bahan tersebut.
“Hakikat bahawa sokongan di Malaysia lebih tinggi daripada purata global sebanyak 82 peratus menunjukkan bahawa langkah ke arah kelestarian disokong oleh rakyat. Sesungguhnya, ia merupakan prinsip teras agenda Malaysia MADANI,” katanya.
Dalam laporan terbaharu pertubuhan alam sekitar bukan kerajaan itu juga mendapati 86 peratus rakyat Malaysia menyokong pengurangan plastik untuk melindungi biodiversiti dan menangani perubahan iklim, berbanding 80 peratus di seluruh dunia.
Selain itu, 95 peratus responden menyokong peralihan daripada pembungkusan plastik sekali guna kepada alternatif boleh guna semula dan 76 peratus rakyat Malaysia menyokong pengharaman pembungkusan plastik sekali guna.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.