comscore
Tumpuan :
Nasional

Dasar kanak-kanak yang kukuh, komprehensif pemangkin pembangunan mampan negara

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Persidangan Dasar Sosial Serantau Kedua: Pengutamaan pelaburan berkaitan kanak-kanak dalam perubahan serantau di Kuching, Sarawak.

Oleh: Kadir Edison

KUCHING: Dasar sosial yang kukuh dan komprehensif berkaitan kanak-kanak berupaya menjadi asas kepada pembangunan mampan sesebuah negara di masa hadapan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, cabaran berbeza pada masa ini disebabkan beberapa faktor seperti perubahan iklim, urbanisasi, anjakan demografi penduduk dan ketidaksamaan sosial memberikan impak yang signifikan kepada masa depan kanak-kanak.

Cabaran itu katanya bukan hanya masalah satu wilayah sahaja, sebaliknya ia merupakan cabaran global yang dihadapi oleh semua rantau dan sebarang keputusan yang diambil berhubung dasar kanak-kanak akan membentuk masa depan generasi berkenaan pada masa hadapan.

“Adalah penting untuk kita meletakkan anak-anak kita sebagai pusat kepada dasar sosial kita. Pelaburan dalam dasar berkaitan kanak-kanak bukan sekadar kewajipan moral sebaliknya ia adalah satu keperluan ekonomi.

“Penyelidikan telah membuktikan bahawa pelaburan awal dalam pendidikan dan kesihatan membuahkan pulangan yang ketara, bukan sahaja untuk individu tetapi juga untuk masyarakat,” katanya berucap pada Persidangan Dasar Sosial Serantau Kedua: Pengutamaan pelaburan berkaitan kanak-kanak dalam perubahan serantau di sini, hari ini.

Tambahnya, pelaburan dalam sistem perlindungan sosial berupaya memberikan perlindungan kepada mereka yang dikategorikan sebagai paling lemas termasuk penduduk, imigran, setinggan serta mereka yang terjejas akibat perubahan iklim dunia.

Katanya, Kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam memastikan dasar-dasar berkaitan kanak-kanak digubal secara inklusif dan sensitif terhadap keperluan golongan itu tanpa mengira status sosial mereka.

Dasar terbabit tegasnya dilaksana dengan tujuan memperkasakan kanak-kanak bagi memastikan tiada kanak-kanak di wilayah itu tercicir dalam memperoleh akses kepada pendidikan dan kemudahan kesihatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini