PETALING JAYA: Pengarah eksekutif kumpulan majikan terbesar dalam negara meminta Putrajaya mempertimbangkan perusahaan mikro dikecualikan secara kekal daripada mematuhi dasar gaji minimum RM1,500.
Menjelang tarikh akhir 1 Julai ini, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan berkata, jumlah aliran tunai dan modal tetap menjadi cabaran utama bagi perniagaan kecil.
Beliau berkata, perusahaan mikro penting kepada ekonomi Malaysia, justeru kerajaan digesa mempertimbangkan isu itu daripada sudut pandangan mereka, bukannya melalui kaca mata syarikat berkaitan kerajaan dan perusahaan besar.
“Masalah utama ialah kos sara hidup tinggi, iaitu isu melangkau gaji minimum. Sebarang kenaikan gaji pokok tidak dapat menangani (kekurangan) wang tunai pekerja jika kos sara hidup terus meningkat.“Kita juga perlu tahu gaji pokok pekerja hanya di peringkat kemasukan.
Selepas pekerja menunjukkan prestasi baik, gaji mereka akan diselaraskan mengikut nilai pasaran, yang biasanya jauh lebih tinggi daripada gaji minimum,” katanya seperti dilapor FMT.
Sebagai contoh, Shamsuddin merujuk Korea Selatan, di mana kerajaan mengecualikan syarikat dengan 10 pekerja atau kurang daripada dasar gaji minimumnya.
Walaupun kadar baharu gaji minimum berkuat kuasa ke atas semua sektor mulai 1 Mei 2022, majikan dengan kurang daripada lima pekerja diberi pengecualian sehingga 31 Disember 2022.
Kerajaan perpaduan kemudian melanjutkan tarikh akhir kepada 1 Julai ini.
Shamsuddin berkata, kerajaan perlu mengelakkan langkah populis melalui kenaikan gaji minimum dan menggesa Putrajaya menyerahkan perkara itu kepada Majlis Perundingan Gaji Negara tiga pihak yang terdiri daripada majikan, pekerja dan kerajaan.
Sementara itu, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) berkata, Putrajaya perlu berhenti menggunakan dasar reaksioner bagi menangani isu ekonomi seperti pendapatan rendah, produktiviti, mobiliti sosial dan pekerjaan.
Pengerusi Samenta, William Ng berkata, isu sedemikian timbul akibat faktor tersembunyi yang tidak boleh ditangani hanya dengan mengurangkan margin keuntungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Untuk ekonomi berkembang, kita memerlukan hala tuju dasar yang kukuh dan kepastian bahawa sebarang pertumbuhan akan memberi manfaat kepada pemegang saham dan pelabur.
Margin sangat rendah memberi kesan sebaliknya.
“Kami berharap kerajaan memahami nasib komuniti perniagaan, khasnya PKS, dan melakukan semua yang mampu bagi membendung cubaan melepaskan beban kepada perniagaan.”
Tetapi, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata, kenaikan gaji minimum bagi perusahaan mikro tidak boleh ditangguhkan lagi kerana kenaikan RM300 akan membantu pekerja di syarikat kecil mengimbangi kenaikan kos sara hidup.
Presidennya, Effendy Abdul Ghani berkata, kenaikan gaji itu akan memberi motivasi kepada pekerja, sekali gus meningkatkan produktiviti.
“Kenaikan itu tidak akan jatuh kepada pengguna. Kenaikan gaji adalah peningkatan kuasa membeli. Jika anda tidak menyeragamkan gaji minimum, ia akan membunuh industri dalam jangka panjang.”
Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan yang senada dengan Effendy menegaskan, majikan tidak patut mengambil pekerja jika mereka tidak mampu membayar gaji minimum.