Tumpuan :
Nasional

Dasar ekonomi terbuka bantu Sarawak lonjak ekonominya

KUCHING: Inisiatif pembangunan yang strategik dan dasar ekonomi terbuka yang diadaptasi Sarawak membantu negeri itu melonjakkan ekonominya.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud berkata, pengenalan dasar ekonomi baharu berasaskan teknologi hijau juga telah menarik banyak pelaburan ke Sarawak selain dapat membantu menjaga dan memelihara alam sekitar.

“Perniagaan karbon dan penyelidikan oleh Sarawak Biodiversity Centre telah menghasilkan sumber ekonomi baru yang akan menggandakan bukan sahaja pendapatan Sarawak tetapi bakat anak-anak Sarawak khusus dalam bidang perkhidmatan dan kesihatan.

“Saya juga mengalu-alukan usaha Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan pengeluaran makanan tempatan.

“Saya yakin usaha ini akan menjadikan Sarawak pengeksport makanan utama. Ia juga dapat membantu meningkatkan pendapatan golongan petani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di Kuching.

Persidangan DUN Sarawak kali ini akan berlangsung selama lapan hari sehingga 24 Mei ini dengan tiga Rang Undang-Undang akan dibentangkan iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2022), Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2023) dan Rang Undang-Undang Majlis Kraf Sarawak 2023.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud

Menurut Tun Abdul Taib, Dasar Ekonomi terbuka yang diamalkan sarawak telah memberi dan menyediakan banyak peluang-peluang pekerjaan berimpak tinggi bagi golongan muda di negeri itu.

Justeru beliau menyeru rakyat dinegeri itu khususnya golongan muda untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran bagi membolehkan mereka merebut peluang berkenaan.

Pada masa sama, beliau turut yakin hubungan baik kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan akan terus membawa banyak kebaikan kepada rakyat sekaligus menjadi pemangkin kepada kestabilan pentadbiran negara.

Loading...
Terkini