Tumpuan :
Nasional

Dasar DLP di Sarawak kekal – Annuar Rapaee

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee. – Foto : NSTP

SIBU: Apa jua situasi, Sarawak akan meneruskan dasar mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat negeri Datuk Dr Annuar Rapaee.

Beliau berkata kerajaan negeri yang membelanjakan RM18 juta untuk fasiliti, latihan guru dan bahan pembelajaran sejak Program Dwibahasa (DPL) diperkenalkan empat tahun lepas, tidak akan berpatah balik berhubung dasar itu.

“Kami sedang melaksanakannya dan tiada patah balik untuk kami. Kami akan teruskan sehingga para pelajar memasuki tingkatan lima,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Kemahiran-Kemahiran Kolej Vokasional Zon Sarawak (KV) di Kolej Vokasional Sibu, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai saranan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya kerajaan mengembalikan semula penggunaan Bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran dan pembelajaran untuk subjek Sains dan Matematik di sekolah.

Tambah Dr Anuar, menjadikan Bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus adalah lebih penting daripada mewajibkan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Foto hiasan / NSTP

“Sejarah penting tetapi menjadikan ia subjek lulus mandatori adalah agak keterlaluan pada saya. Sepatutnya jadikan Bahasa Inggeris subjek lulus mandatori,” katanya yang turut berpendapat Kementerian Pendidikan perlu lebih fleksibel dalam perkara itu.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Sarawak (UTS) menyifatkan syarat itu sebagai tidak adil dan tidak wajar untuk pemegang diploma dari Kolej Vokasional yang mengambil pengajian ijazah sarjana muda di peringkat universiti.

“Mereka tidak boleh menerima ijazah dari universiti kerana tidak lulus kertas Sejarah pada tahap SPM. Ini tidak masuk akal,” katanya.

Kolej Vokasional yang menjadi pusat pembelajaran bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak menawarkan subjek akademik seperti Sejarah.

Dr Annuar berkata pelajar universiti daripada latar belakang vokasional boleh mempelajari dan menduduki peperiksaan Sejarah SPM, namun mereka tidak sepatutnya dikehendaki lulus mata pelajaran itu.

– BERNAMA.

Loading...
Terkini